SIARAN MEDIA
KEMENTERIAN PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA

 

PUTRAJAYA, 10 JUN 2020 - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengumumkan pelan pemulihan pelancongan dan kebudayaan bagi membolehkan ekonomi negara pulih dengan segera akibat wabak pendemik COVID-19.

 

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, “Sebagai permulaan, kita mahu ia dibuktikan menerusi pelancongan domestik, yang mana dari kalangan kita sendiri, sama ada yang ada di sini hari ini atau di luar sana, harus memainkan peranan berganding bahu bersama-sama, menyemarakkan semula industri pelancongan negara, sekaligus meletakkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan selamat untuk dikunjungi pada masa hadapan. Ini seiring dengan misi kita pada masa hadapan apabila sektor pelancongan mula dibuka untuk pengunjung luar, apabila keadaan kembali pulih satu hari nanti,” jelasnya dalam sidang media di sini, hari ini.

 

Beliau memberitahu bagi merancakkan semula atau ‘rebound’ industri pelancongan dan kebudayaan negara, strategi-strategi awal pelan pemulihan pelancongan dan kebudayaan telahpun dikenalpasti dalam membantu meringankan beban penggiat industri pelancongan menangani impak wabak pandemik COVID-19 iaitu:

  1. Pelaksanaan kursus Domestic Tourism Vibes secara atas talian dengan kerjasama Persatuan Institut-institut Latihan Pelancongan Malaysia (ATTIM) dan Malaysian Tourist Guide Council (MTGC) bermula Mei sehingga November 2020 kepada kumpulan pemandu pelancong berlesen yang akan tamat tempoh lesen pemanduan bermula April sehingga Disember 2020;
  2. Pengecualian bayaran fi lesen bagi pengusaha-pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang dilesenkan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 atau Akta 482 bermula 17 Mac hingga 31 Disember 2020;
  3. Pemberian diskaun pembayaran kompaun sebanyak 40% kepada semua pengusahaan pelancongan dan pemandu pelancong berlesen yang dikenakan kompaun oleh Kementerian ini sebelum 31 Disember 2020;
  4. Perlanjutan tempoh bayaran kompaun sehingga 31 Disember 2020 bagi semua kompaun yang dikeluarkan kepada syarikat atau pemandu pelancong berlesen; dan
  5. Pengecualian kompaun kepada pengusahaan pelancong dan pemandu pelancong yang gagal memperbaharui lesen dalam tempoh yang ditetapkan disebabkan oleh PKP dengan syarat permohonan lengkap perlu dikemukakan dalam tempoh 60 hari selepas tamat tempoh PKP.
 

Tambah beliau, bagi sektor kebudayaan, MOTAC telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan pelbagai program dalam talian sepanjang tempoh PKP dan PKPB. Antara 3 segmen program dalam talian adalah seperti berikut:

(i) Program pembangunan seni budaya;

(ii) Program pengembangan seni budaya; dan

(iii) Program pemasaran dan promosi.

 

Selain itu, MOTAC melalui Tourism Malaysia, telahpun mengenalpasti beberapa program bagi merancakkan lagi pelancongan domestik. Antaranya ialah:-

  1. Aktiviti perhubungan awam merentas negeri (Intra & interstate PR Activation) dengan syarikat-syarikat radio tempatan untuk mempromosikan tempat-tempat menarik di seluruh Malaysia. Tourism Malaysia juga akan membantu penggiat industri mempromosikan produknya melalui laman web www.malaysia.travel dan media sosial yang tersedia di peringkat ibu pejabat dan di Pejabat Wilayah;
  2. Mempromosikan Kempen Cuti Cuti Malaysia untuk menggalakkan rakyat negara ini melancong di dalam negara sejajar dengan hebahan YAB Perdana Menteri;
  3. Menggunakan platform seperti Cuti-Cuti Malaysia E-Travel Fair, E-Corporate Bazaar dan Malaysia Tourism Travel Bazaar bagi membantu industri memperbanyakkan tawaran pakej-pakej menarik kepada konsumer. Platfom e-korporat bazaar ini akan turut dipanjangkan kepada industri MICE domestik. Penggiat industri digalakkan untuk mengumpul pakej-pakej menarik dan kemukakan kepada Tourism Malaysia melalui persatuan-persatuan pelancongan yang sedia ada untuk dimasukkan dalam platform yang sedia ada seperti www.malaysia.travel; dan
  4. Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN) diteruskan dan dipermudahkan dari masa ke semasa terutamanya untuk aktiviti-aktiviti promosi dan pemasaran domestik. Maklumat berkaitan GAMELAN boleh diperolehi di laman web www.tourism.gov.my
 

Bagi memastikan keselamatan, pembukaan kembali sektor pelancongan domestik turut melibatkan beberapa perkara yang dilarang dan dibenarkan dengan syarat pematuhan kepada semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

Dalam hal ini, MOTAC telah mencadangkan 12 subsektor pelancongan dan kebudayaan dengan SOP bagi tujuan pembukaan mulai hari ini. Ia boleh dikategorikan kepada 2 iaitu Dibenarkan Dengan SOP dan Senarai Terlarang.

Aktiviti sub sektor yang dibenarkan dengan SOP meliputi:-

  1. Pameran Hasil Seni, Budaya & Warisan di Premis dan Fasiliti Awam Kebudayaan;
  2. Premis Penginapan Hotel;
  3. Syarikat Pengendali Pelancongan;
  4. Pemanduan Pemandu Pelancong;
  5. Operasi Institut Latihan Pelancongan (ILP);
  6. Program Pengalaman Homestay Malaysia;
  7. Aktiviti Pelancongan Pengembaraan dan Aktiviti Lasak (SOP Umum KBS telah lulus); dan
  8. Aktiviti Selam Skuba dan Snorkeling (SOP Umum KBS telah lulus).

YB Dato’ Sri Nancy juga berkata bahawa pemain industri pelancongan dan kebudayaan perlu bersiap sedia dengan norma baharu ini demi memastikan kelangsungan dalam menyumbang kepada ekonomi negara. Beliau berharap usaha-usaha yang dirancangkan ini dapat mengembalikan daya saing industri ini serta mendapat sokongan padu dan kerjasama penuh daripada semua pihak berkepentingan termasuk NGO dan penggiat industri yang berkaitan.

-TAMAT-

Source: https://www.tourism.gov.my/media/view/pelan-pemulihan-efektif-bagi-semarakkan-semula-sektor-pelancongan-dan-kebudayaan-negara